fbpx

Kak Long│Skytrex Shah Alam

Skytrex terletak 3km di dalam hutan seluas 817 ekar di Taman Botani Negara Shah Alam. Jangan hairan melihat ramai adik-adik sekolah yang comel ni kerana di sini juga menempatkan Taman Haiwan, Taman Hiasan, Rumah Iklim Sederhana 4 musim, Taman Rempah Ratus, Taman Kaktus, dan banyak lagi tarikan yang sesuai untuk pengujung-pengunjung dari pelbagai peringkat umur. Seronok Kak Long nampak adik-adik ni buat lawatan sambil belajar!

Boleh rujuk di jadual bayaran masuk di bawah, mana tahu anda mempunyai banyak masa terluang sebelum atau selepas melakukan aktiviti anda di Skytrex.

Kak Long dan kawan tiba pada pukul 12.30 tengah hari, punya lah awal sedangkan aktiviti kami cuma akan bermula pada pukul 1.30. Perjalanan ke sini dari Kuala Lumpur cuma mengambil masa dalam lebih kurang 40 minit. Harus diingatkan, anda harus berada di Taman Botani ½ jam lebih awal sebelum aktiviti bermula. Sebab kami sampai agak awal, kami mengisi perut di kedai makan berdekatan kaunter masuk.

Dalam pukul 1.00, Kak Long mendapat panggilan dari Skytrex mengatakan ada pekerja yang akan mengambil kami menggunakan trak pikap. Lupa pula nak ambil gambar pemandu kami yang peramah tu.

Ini lah rupanya gerbang masuk ke Skytrex. Tempatnya sangat bersih dan dijaga rapi. Udara pun segar dan anda boleh melihat banyak pokok-pokok yang dipasang dengan tali, tempat berpijak dan tangga sesuai dengan aktiviti-aktiviti cabaran yang akan dijalankan. Kak Long tak nak cakap banyak, tengok sendiri beberapa gambar yang kami ambil.

Apabila sampai, anda perlu menandatangi borang pelepasan tanggungjawab di kaunter pendaftaran dan setelah itu anda akan dibawa ke rumah kecil berdekatan untuk dipasangkan alat keselamatan.

Jangan sangka pada hari biasa tak ada orang ye. Sebab,  masa Kak Long beli tiket secara online, semua slot hampir penuh dan Kak Long dan kawan adalah peserta terakhir untuk hari tersebut.

Oh lupa pula nak cakap, Kak Long mengambil pakej Intermediate Big Thrill berharga RM45 setiap seorang. Untuk yang baru mencuba mungkin boleh bermula dengan pakej Beginner – Little Adventure dan bagi yang sukakan cabaran yang lebih lasak boleh mengambil pakej Advance – Extreme Challenge. Harga lebih murah kalau dibeli secara online.

Tips-Tips Lain yang anda perlu tahu:

  • Pakai kasut dan pakaian bersesuaian. Tidak boleh memakai selipar dan berseluar panjang yang sesuai untuk aktiviti lasak seperti seluar sukan atau jeans
  • Pakai sarung tangan supaya tapak tangan tidak melecet. Kalau anda lupa bawa, boleh beli di kaunter pendaftaran. Hanya RM10 sahaja.
  • Bawa bekalan air yang secukupnya.

Kalau anda ada membawa beg besar, boleh disimpan di dalam loker yang disediakan dengan yuran sewa sebanyak RM2 (Kecil), RM3 (Sederhana), RM4 (Besar) beserta deposit RM10 yang akan dikembalikan selesai aktiviti anda.

Begini lah lebih kurang peralatan keselamatan yang wajib anda pakai. Belum pakai peralatan Kak Long dah jatuh dan senyuman tu cuma untuk cover malu sebenarnya.

Sebelum memulakan aktiviti, ada briefing yang dijalankan oleh abang-abang pengawas. Dengar baik-baik sebab kalau anda dah berada di atas pokok, anda mungkin lupa cara menggunakan peralatan dan abang-abang pengawas takkan berada di sisi anda. Kalau anda lambat, anda mungkin membuatkan peserta lain lambat . Alamatnya, aktiviti anda mungkin berpanjangan sampai lewat petang.

Dah habis briefing, Kak Long dan kawan memulakan cabaran pertama kami. Ladder Up mengunakan Fisherman Net iaitu jambatan tali.

Nampak senang kan, tapi tanpa kaki dan tangan yang kuat, anda mungkin akan mempunyai masalah untuk memanjat. Kak Long cuma mampu pandang ke bawah untuk pastikan kaki tak terperosok masuk dalam tali. Malu nanti tau dengan budak-budak sekolah yang dah berada nun jauh ke depan.

Ni kawan Kak Long yang rileks saja naik Flying Fox . Kak Long tengah berada di Plank Bridge menunggu giliran sambil baca doa banyak-banyak. Haha! Bagi setiap cabaran, akan ada Initiation Plank Bridge untuk anda menunggu dan tidak boleh melebihi 3 orang pada sesuatu massa.

Tinggi kan? Ni namanya Chicken Exit, di mana anda perlu naik tangga besi bertali untuk sampai ke cabaran seterusnya – Zig Zag Bridge. Percayalah cakap Kak Long bahawasanya, naik tangga tu merupakan aktiviti yang paling susah sekali dan Kak Long sakit tangan 3 hari disebabkannya.

Kak Long orang yang gayat tetapi kalau anda dah berada di atas ni, gayat tu confirm hilang. Sebaliknya anda akan menikmati pemandangan sambil dalam hati rasa geli hati melihat peserta-peserta lain yang ketakutan di belakang.

Yang bestnya bila ramai-ramai ni, anda akan bertemu kawan-kawan baru. Ni kawan Kak Long dengan peserta yang masih bersekolah rendah (dah lupa dari sekolah mana) yang sangat sporting. Kak Long dan kawan siap belajar bahasa Cina dan bersorak di sepanjang aktiviti untuk memberi semangat kepada sesetengah adik-adik yang kecut perut dan tak nak meneruskan cabaran.

Rope Step. Ada tali di setiap langkah di mana sepatutnya anda mencapai tali tersebut dan hayunkan diri untuk sampai ke papan seterusnya tetapi kami semua pegang tali tepi! Kawan Kak Long memang rileks je walaupun jarak papan sangat jauh.

Dari satu cabaran ke cabaran yang lain tak sah kalau tak ada Flying Fox sampaikan dah tak ada rasa takut bila nak lakukan Flying Fox seterusnya.

Dalam pada tertanya-tanya bila agaknya aktiviti ni akan berakhir, tiba-tiba kami dah sampai di Fisherman terakhir ni. Dan tiba-tiba pula rasa tak nak balik sebab dah seronok sangat.

Kak Long kasi 5 bintang untuk tempat ni, kemudahan-kemudahan dan peralatan dipelihara dengan baik, kawasannya pun bersih dan pekerja-pekerjanya sangat peramah, tak lokek untuk menghulurkan maklumat dan bantuan. Dan di sini juga terdapat pakej untuk menyambut harijadi dan pakej teambuilding untuk sekolah ataupun syarikat korporat. Kak Long memang sarankan anda pergi ke sini dan rasai sendiri pengalaman seronok melakukan aktiviti di Skytrex ini!

Untuk keterangan lebih lanjut mengenai lokasi-lokasi Skytrex di Malaysia dan kemudahan serta pakej yang disediakan  layari http://www.skytrex-adventure.com/.

Namun, dalam keseronokan melakukan aktiviti dan walaupun anda dilengkapi dengan kesemua peralatan keselamatan, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa dijangka! Jadi pastikan anda mempunyai pelan perlindungan kemalangan diri supaya anda boleh menumpukan kepada keseronokan aktiviti dan bukannya merasa risau setiap kali anda melangkah! Layari laman EZTakaful kerana di sini kami menawarkan pelbagai pelan-pelan perlindungan kemalangan diri yang sangat komprehensif dengan bayaran pampasan tunai sehingga RM1 juta dengan sumbangan bulanan serendah RM10 sahaja!

Itu saja blog Kak Long untuk hari ni, kita bertemu lagi di minggu depan. Salam Ceria!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Ada sebarang pertanyaan?

Call 1300 82 0010

SMS ez< jarak>w< jarak><nama anda> ke39993*

*Perkhidmatan ini adalah percuma. Caj telco standard mungkin akan dikenakan.